Tuesday, September 11, 2012

BALIK KAMPUNG SAYA!




“KAMPUNG SAYA!”

“Mana boleh! Awak janji kita akan balik kampung saya tahun ni.”

“Ada ke saya janji macam tu?”

“Adalah. Sebelum kita kahwin.”

“Itu sebelum kahwin, sekarang ni kita dah kahwin.”

“Munafik tahu tak kalau orang tu mungkir janji?”

“Dan tak akan cium bau syurga seorang isteri kalau tak ikut cakap suami..”

Argh! Sakit betul hati ni kalau ingat balik perbualan antara aku dan suamiku, Shahfiq. Memang ayat itulah yang akan dia gunakan kalau dia mula merasakan kemenangan hampir berpihak kepadaku. Tapi takkanlah raya pertama sebagai suami – isteri ni aku nak beraya kat kampung dia? Memang taklah!

“Assalammualaikum..” 

Salam yang diucap secara perlahan itu menyapa halwa telingaku. Pantas aku berpaling. Kelihatan Shahfiq tersenyum sambil menghulurkan satu bungkusan plastik kepadaku. Salam yang diberi aku jawab sambil menyambut bungkusan plastik itu.

“Ni novel yang awak pesan. Awak pesan tigakan? Tapi saya tambah lagi dua,” beritahu Shahfiq lantas melabuhkan punggung di sebelahku. Oh ya, Shahfiq memang begini. Kalau kita pesan apa – apa pasti akan dibeli lebih daripada yang kita pesan. 

Tangan Shahfiq mula memaut bahuku sebelum membenamkan bibirnya ke pipiku. Haii..lain macam aje dia petang ni? 

“Pandai pulak awak pilih novel?” soalku lalu melarikan sedikit wajah yang mula dijamah penuh asyik oleh Shahfiq.

“Saya tanya dekat staff kedai buku tu novel apa yang best. Yang laris. So, saya belilah mana yang dia orang cadangkan. Tengok novel ni, Projek Memikat Suami.. Hurm, saya rasa memang sesuai untuk awak baca,” ujar Shahfiq sambil mencapai novel terbaru daripada Penulisan.2u itu. 

“Kenapa sesuai dengan saya pulak?”

“Dapatlah awak belajar macam mana nak pikat saya. Dulu masa bercinta saya macam nak gila pikat awak, jadi sekarang turn awak pulak yang pikat saya.” Shahfiq berkata sambil ketawa. Terserlah sungguh wajah cerianya petang itu. 

“Kalau macam tu saya nak cadangkan penulis novel untuk buat novel yang bertajuk Projek Memikat Isteri..”

“Memang sayalah jadi orang pertama beli novel tu. Lagipun saya memang suka bab projek – memprojek ni,” cantas Shahfiq dengan kening yang dijongketkan sedikit. Senyuman nakal turut bergayut di bibir. 

Sudah! Line DIGI dia dah mari.. 

“Awak tu memang, tak ingat benda lain,” gumamku lalu memasukkan semula novel – novel yang ada di dalam plastik. Tapi memang aku suka sangat dengan novel Projek Memikat Suami itu sebab aku ada mengikuti cerita itu di blog Penulisan.2u itu sendiri. Ingatkan nak beli bulan depan, tapi kalau dah ada yang sudi beli lagilah syokkan?  

“Benda apa tu?” Shahfiq bertanya sambil menyenggol lenganku. Tersentak aku dibuatnya.

“Nak minum tak?” laju aku menukar topik. 

“Boleh jugak.”

“Air apa?”

“Susu.”

“Awak!!!”

Pecah ketawa Shahfiq apabila melihat wajahku mula memerah dan sedikit masam. Boleh pulak dia nak air susu! Bukan ke dia tu anti – susu? Dan dah sah – sah susu yang dimaksudkannya itu susu.. err…Argh! Aku dah termasuk dalam line DIGI pulak ni. Hesy! Asyik nak line kuning je!

“Air milo kosong jelah sayang. Letak ais sikit ye,” akhirnya Shahfiq mengalah. Sempat dia mencuit daguku sambil mengenyitkan mata. 

“Cantik!” pujinya tidak semena – mena. 

Aku terus menuju ke dapur. Tidak mahu menunggu lama di situ. Sambil membancuh air milo, aku mula berdoa agar hati Shahfiq dilembutkan sedikit untuk menerima permintaanku sebentar lagi. 

“Nah.”

Thank you, sayang.”

Aku mengangguk lalu duduk di tempat yang aku tinggalkan tadi. Shahfiq yang sudah meneguk setengah air itu mula membuka butang baju kemejanya. Garis – garis keletihan terpapar di wajah nan tampan itu. Tampan? Suami sendiri mestilah kena puji tampan, tak gitu? 

“Esok dah start kerjakan?” 

Sekali lagi aku mengangguk. Kepala mula disandarkan pada bahunya. Tidak sampai hati pula aku hendak mengutarakan permintaan yang ada di dalam kepala ini. 

“Sayang..”

“Hurm?” Aku mendongakkan kepala. Melihat wajahnya. 

“Raya ni kita balik kampung saya ya?” lembut bak sutera kata – kata yang keluar daripada mulut Shahfiq. 

Badanku terus tegak. Kedudukan diatur agar berdepan dengannya.

“Tapi awak..”

“Awak tahukan raya ni raya pertama family saya beraya tanpa abah?” ujar Shahfiq sambil mengelus lembut pipiku. Rambut yang jatuh di pipi turut diselitkan ke telinga. 

“Tahu. Tapi..” 

“Syhhh..”

Jari telunjuk Shahfiq sudah mendarat di bibirku. Selalunya kalau dah jari sampai ke bibir tak lama lepas tu ada benda lain turut mendarat sama. Seperti yang dijangka bibir Shahfiq pula singgah ke bibirku. Dan sudah semestinya aku tidak akan menolak! Cuma tentang balik kampung siapa sahaja terpaksa ditolak ke tepi seketika.



JAM menunjukkan pukul enam petang. Aku masih lagi menanti kedatangan Shahfiq di perhentian bas yang jaraknya hanya lima puluh meter dari pejabatku. Sesekali aku menyisipkan air Coke yang aku beli sekejap tadi. Mata pula masih setia melihat kereta yang lalu – lalang. Tidak lama kemudian, berhenti sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih dan dengan pantas aku mendekati sebelum membuka pintu kereta.

“Lambat?” tanyaku setelah melabuhkan punggung ke kerusi. Tali pinggang ditarik seraya mengerling ke wajah Shahfiq. Air Coke sempat kusua kepadanya. Laju sahaja dia meneguk. 

Busy sikit hari ni. Budak pratikal baru masuk. Macam mana kerja? Okey?” 

“Okey je. Lagipun sayakan pernah praktikal kat situ dulu, jadi senang sikitlah nak sesuaikan diri,” jawabku sambil tersenyum. 

“Baguslah kalau dah macam tu. Ni kita makan kat luar jelah kan? Kesian pulak dekat awak nak balik masak.”

Makin lebar senyumanku mendengar kata – kata penuh prihatin Shahfiq. Tapi memang sejak dulu Shahfiq amat prihatin denganku. Selalu sahaja dia mengalah kalau ada sesuatu benda yang kami bahaskan, kecuali..kecuali hal balik kampung tu! Sikit pun tak nak beralah!

“Tak apalah, kita makan kat rumah je. Pagi tadi sayakan dah masak. Balik ni just nak masak nasi, panaskan lauk dengan tumis sayur je,” balasku. 

Sememangnya selepas solat Subuh tadi aku sudah bersilat di dapur. Ayam masak kicap dan sambal telur sudah siap dimasak dan disimpan ke dalam peti sejuk. Sayur kacang botol juga sudah dipotong. Balik ni cuma perlu menumis sayur itu kerana bahan – bahan tumisan turut sudah aku siapkan. 

“Okeylah kalau dah macam tu.”



AIR Nescafe yang telah dibancuh Nana kupandang sekilas sebelum menyuap sesudu nasi lemak ke dalam mulut. Suara Nana dan Hamdan yang bertingkah langsung tidak aku hiraukan. Mood hari ini betul – betul ke laut. Pertengkaran kecil antara aku dengan Shahfiq pagi tadilah yang membuatkan mood aku jadi sebegini. 

“Kau ni kenapa Nis?” tanya Nana tiba – tiba.

“Kenapa apa?” laju aku menjawab. 

Nasib baik masih mampu memberi reaksi spontan. Kalau tidak tertangkaplah aku sebab mengelamun panjang sejak masuk ke pantry tadi.

“Aku dengan Nana bagai nak rak bersembang, kau boleh pulak buat muka blur kat situ. Kau ni wujud ke tak wujud ni?” Hamdan pual mula bersuara. 

“Aku wujud lagi ni,” kataku lalu tersenyum. 

Air yang sudah suam itu aku kacau dengan sudu. Mentang – mentang boss tak ada, boleh pula kami bertiga ‘bermesyuarat’ di pantry ini.

“Kau ada masalah ke sejak kerja kat sini?” Nana masih lagi menyoal. Tapi kali ini hal kerja pula dijadikan topik.

“Kerja okey je. Cuma tulah..aku gaduh dengan suami aku,” jujur sekali aku memberitahu. 

Bukan mahu membuka pekung di dada tapi mungkin disebabkan aku sudah biasa dengan dua orang hamba Allah ni jadi aku tidak kekok untuk bercerita. Lagipun bukannya aku nak buka semua kisah dalam kelambu rumah tangga aku pun. 

“Pasal balik kampung tu ke?” teka Nana. Aku terus mengangguk. Nana sebelum ini memang tahu sangat isu yang aku selalu adukan padanya. 

“Asal tiba je raya pasti isu yang sama akan menjelma. Aku pun tak terkecuali,” sela Hamdan sambil tersengih.

“Kau tu memang tiap – tiap tahun aku dengar hal yang sama. Kau nak tau Nis, si Hamdan ni boleh dikatakan tiap – tiap tahun dia nak raya kat kampung dia aje, mana tak mengamuk bini dia tu,” cerita Nana dengan bersungguh – sungguh. 

Hamdan hanya tersengih sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. 

“Lelaki ni walaupun dah beristeri tapi syurga dia tetap bawah kaki emak dia tahu tak?” 

Aku melepaskan keluhan berat bila mendengar kata – kata Hamdan. Nampaknya ayat Hamdan dan Shahfiq sama sahaja. Tak ada beza. 

“Tapi kau kena beralah dengan isteri kau. Dia pun nak beraya kat kampung dia,” protes Nana.

“Eh, raya ketiga dah kita orang balik kampung dia tau.” Hamdan memintas laju.

“Tapi tak sama dengan malam raya dan hari raya pertama tu,” aku pula menyahut. 

Serius, aku hanya mahu malam raya dan pagi raya tu aku ada di kampung. Kalau petang raya pertama tu Shahfiq nak bawak aku beraya kat kutub utara sekali pun aku sanggup. Sungguh, aku sanggup! 

“Inilah masalah perempuankan? Tak tahu erti bersyukur,” rungut Hamdan lalu meninggalkan aku dan Nana. Eh, dia pulak yang terlebih emo!

“Kau discuss elok – elok dengan dia. Insya – Allah semua akan okey je,” cadang Nana.

“Entahlah Nana. Kau pulak macam mana? Raya kat mana tahun ni?” soalku. 

Disebabkan aku pernah praktikal di situ jadi aku amat rapat dengan pekerja yang ada di syarikat ini. Terutamanya Nana dan Hamdan. 

“Tahun ni turn kampung Waiz pulak sebab last year kat kampung aku,” Nana menjawab sambil tersenyum. Perutnya yang sudah ‘ada isi’ itu diusap lembut. 

“Harap – haraplah Shahfiq tukar fikiran,” doaku perlahan.

“Amin..” Nana dengan pantas mengaminkan doaku. 

Tidak lama kemudian cerita kami berdua bertukar kepada gossip yang ada di syarikat. Macam – macam cerita yang Nana sampaikan. Aku pula lebih selesa menadah telinga untuk mendengar.



HARI ini masuklah dua puluh hari umat Islam berpuasa. Aku dengan Shahfiq masih setia menjadi jemaah di masjid yang ada di kawasan perumahan tempat kami menyewa. Puasa juga masih belum ditinggalkan. Persediaan raya juga sudah mula dibuat. 

“Esok kita berbuka dekat luar ya?” ajak Shahfiq sambil menyapu kuning telur di atas biskut Mazola yang telah aku buat sebentar tadi. Balik dari solat terawih tadi aku dan Shahfiq terus masuk ke dapur. Menguli tepung. 

“Okey,” balasku ringkas lalu memasukkan biskut ke dalam ketuhar. 

“Kelmarin awak buat Tat Nenas. Semalam Almond London. Hari ni biskut ni pulak. Tak penat ke buat banyak – banyak ni?” 

“Tak penat sebab awak ada tolong sama.”

“Yang mentega, horlick, seri kaya semua tu nak buat kuih apa lagi?” Shahfiq bertanya sambil menjuihkan bibir pada plastik besar yang ada di sudut dapur.

“Nak buat kek lapis Sarawak dengan kek kukus. Untuk keluarga awak dengan keluarga saya.”

“Memang untunglah mak saya bermenantukan awak ni,” puji Shahfiq seraya menyumbat sebiji biskut Mazola ke dalam mulut. Aku hanya tersenyum senang.

“Tadi ayah saya call. Tanya balik mana raya ni..”

So, awak jawab apa?” laju Shahfiq mencelah.

“Saya cakaplah balik rumah ayah,” jawabku sambil tersenyum manis. 

“Eh, takde – takde – takde! Balik rumah emak saya! Titik!”

“Tapi awak..”

Takde tapi – tapi. Balik rumah emak saya atau dalam erti kata lain balik kampung saya!” tegas sekali suara Shahfiq mencatas kata – kataku. 

Mungkin dia perasan dengan air mukaku yang mula berubah, dia terus melepaskan keluhan berat. Aku yang sejak tadi berdiri menghadap meja terus dirapati. Tubuhku mula dipeluk dari arah belakang.

Sorry. Saya bukannya nak marah awak, tapi saya nak awak faham yang saya nak temankan mak beraya tahun ni,” pujuk Shahfiq lembut. Kalau dah ada dekat – dekat macam ni, ada sahajalah sesi goda – menggoda terjadi. 

“Tahun depan kita beraya kat kampung awak ya? Sampai seminggu kita kat sana pun saya tak kisah,” ujar Shahfiq lagi sambil tangannya meliar tidak tentu hala. Belum dikira bibirnya yang tidak henti – henti menjelajah seluruh tengkukku. Silap hari bulan biskut Mazola ke mana, kami berdua ke mana. Tak boleh jadi ni! 

Ting!

Bunyi dentingan ketuhar menyelamatkan keadaan. Aku yang hampir terkulai di dalam pelukan Shahfiq terus melepaskan diri. Terdengar keluhan kasar terlepas daripada mulut Shahfiq. 

“Saya tak kira, tahun ni kena beraya kat kampung saya jugak. Kalau awak rasa awak nak temankan mak, saya pun rasa saya nak temankan ayah. Awak jangan lupa yang ayah saya dah lama kehilangan ibu saya..” masih lagi aku mahu mengungkit hal balik kampung. 

“Sekarang ni awak dah jadi isteri saya, Nisrina. Jadi awak kena patuh cakap saya. Awak tahukan syurga saya kat bawah tapak kaki mak?”

“Habis tu ayah saya tu tak pentinglah? Awak lupa ke, kalau tak kerana ayah saya jadi wali saya, awak tu takkan kahwin dengan saya tau!” bentakku sedikit geram. Loyang yang ada di tangan kutolak ke atas meja.

Wajah tergamam Shahfiq tidak aku endahkan. Mana tak tergamam kalau ini kali pertama aku bersikap sebegitu.

“Awak siapkan jelah biskut raya ni! Saya takde mood nak buat kuih raya lagi. Atau dalam erti kata lain saya dah takde mood nak beraya!” protesku lalu masuk ke dalam bilik.


SELESAI solat Subuh aku dengan rasa rendah hati meminta maaf kepada Shahfiq. Sungguh, aku rasa amat bersalah kerana malam tadi aku sanggup tidur di bilik tetamu semata – mata mahu menunjukkan sikap protesku kepadanya. Tapi apabila aku mencelikkan mata pagi tadi, rupa – rupanya Shahfiq sedang lena di sebelahku. Nampaknya, Shahfiq memang tidak akan membiarkan aku tidur sendirian. 

“Sudahlah, saya tak marah pun. Salah saya jugak sebab pentingkan diri sendiri,” lembut Shahfiq berkata sambil memeluk erat tubuhku.

“Saya dah fikir masak – masak. Saya rasa kita beraya kat kampung awak jelah,”akhirnya aku mengalah juga. Yalah, daripada bermasam muka ada baiknya aku mengalah. 

Bila difikirkan balik, memang Shahfiq wajib mendahulukan emaknya daripada aku yang dah jadi isterinya ini. Lagipun ayah masih ada along dengan angah yang akan beraya kat sana. 

“Eh, takpe. Kita beraya kat kampung awak je,” Shahfiq pula memutuskan sesuatu di luar jangkaanku. 

“Tapi takkan mak nak beraya sorang – sorang? Abang – abang awak bukan ke balik ke kampung isteri dia orang?” tanyaku sambil mendongak memandangnya. 

“Dia orang tak jadi beraya dekat kampung wife dia orang sebab..”

“Sebab?” soalku apabila Shahfiq sengaja berjeda. Ada senyuman di bibirnya itu. Senyuman macam nak mendengki je tu.

“Sebab wife dia orang takdelah sedegil wife saya ni,” sakat Shahfiq sambil menarik lembut pipiku. 

“Awak!!!” 

“Ops, sorry. Dah jangan nak merajuk. Puasa ni. Tapi memang betul dia orang akan beraya dengan mak. Abang Shahril pun suruh saya beraya dengan awak,” sela Shahfiq sambil tersenyum.

Aku terus mengucup lembut tangannya.

Thanks awak,” ucapku lembut.

Thanks je?” tanyanya sambil mengerutkan dahi.

“Habis tu nak apa lagi?”

“Peluk ke? Kiss ke? Takde?” 

Aku terus bingkas bangun. Malas hendak melayan Shahfiq yang sudah ketawa besar itu. Telengkung turut kubuka. 

“Bulan puasa macam ni jangan nak menggatal ya?” ujarku sambil menjeling geram. 

“Sikit – sikit tak apa kut?” sengih Shahfiq sambil melipat sejadah. Saat itu juga telefon bimbitnya berbunyi.

“Assalammualaikum mak..”

Aku menelan air liur. Janganlah emak mertua aku tu ubah fikiranlah dahlah!

“Baru lepas solat. Makan apa sahur tadi? Saya ‘makan’ Nis je mak,” selamba sahaja Shahfiq bergurau benda sebegitu dengan emaknya. Aku yang duduk di sebelah sudah menahan wajah yang sedikit panas.

“Shah gurau jelah. Sahur tadi Nis masak sambal kerang, telur dadar dengan sayur kacang panjang,” jawab Shahfiq sambil memaut bahuku. Aku pula masih sibuk memasang telinga untuk mendengar perbualan dua anak beranak itu.

“Nah, mak nak cakap.”

Aku segera mencapai telefon bimbit yang dihulur.

“Assalammualaikum mak,” sapaku lembut. Terus terbayang wajah mak mertuaku yang sememangnya seorang yang baik hati.

“Waalaikumussalam. Kamu sihat?”

“Sihat. Mak pulak?”

“Mak pun sihat. Ni mak nak tanya, betul ke kamu tak beraya kat sini?”

Aku diterpa perasaan serba – salah. Aku menoleh memandang Shahfiq. 

“Kenapa?” soalnya perlahan.

“Nis?” tegur emak di hujung talian.

“Memang saya plan macam tu tapi kalau mak nak kita orang balik sana, saya tak kisah.”

Terdengar suara emak ketawa riang.

“Nis – Nis. Mak tanya aje. Tak ada maksud lain. Mak tak kisah kamu berdua nak beraya kat mana pun, tapi kalau kamu nak tahu masa mak baru kahwin dengan arwah abah kamu dulu berminggu mak mogok sebab abah tak nak balik kampung mak. Nasib baiklah abah kamu nak mengalah, kalau tidak mahu mak mogok seumur hidup kut,” cerita emak sambil tergelak.

“Kamu jangan risau, mak faham perasan kamu. Lagi – lagi kamu tu anak bongsu. Puteri tunggal pulak tu dalam keluarga. Tapi kamu kena janji dua tiga hari lepas tu kamu kena balik sini tau? Mak pun nak beraya dengan menantu baru mak ni,” sambung emak lagi.

Hampir menitis air mataku mendengar kata – kata emak. 

“Terima kasih mak sebab faham. Insya – Allah, raya kedua kami akan balik sana.” 

“Yalah. Emak nak buat kuih bahulu ni, nanti kalau ada apa – apa mak telefon kamu. 

Assalammualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

“Baikkan mak saya? Macam saya jugak?” kata Shahfiq sambil tersengih. 

“Haah. Memang baik pun. Memang macam awak. Sebab tu saya sayang awak,” jawabku sambil memeluk tubuhnya. Telefon bimbit kuletakkan ke atas katil.

“Saya pun sayang awak Nisrina. Sayang sangat – sangat.”

“Tahun depan balik kampung saya lagi ya?” usikku.

“Hah? Mana boleh macam tu!” bentak Shahfiq tiba – tiba. 

Pelukan turut dileraikan. Aku sudah tidak dapat menahan ketawa daripada pecah apabila melihat muka monyok Shahfiq. 

“Saya gurau jelah,” pujukku lalu memeluknya semula.

“Tahun depan raya kat kampung saya tau,” Shahfiq meminta kepastian.

Iye..”

“Macam tulah isteri saya. Meh sayang sikit..” berseri terus muka Shahfiq. 

“Puasalah!” laju sahaja aku mengelak dan terus berdiri.

“Alah, sikit jelah..”

“Nah..” aku terus menghantar flying kiss kepadanya. 

Tergelak kecil aku melihat gelagat Shahfiq yang bersungguh – sungguh menyambut flying kiss tersebut sebelum tangannya itu ditekap ke dada. Konon – kononnya fyling kiss itu disematkan di dalam dada.

Love you, sayang..” ucap Shahfiq tiba – tiba.

Aku yang leka memilih baju kurung untuk digosok segera berpaling kepadanya. Eh, bila masa pula dia ada dekat belakang aku ni?

Love you too.” Aku tetap membalas ucapan sayangnya. 

“Ingat tau, raya kedua kita balik kampung saya.”

Wah, tak sudah lagi ke? Tapi kepala aku terus mengangguk.

“Kita stay sana sampai raya ketujuh. Awak apply cuti sepuluh harikan?”

Mak aii..betul – betul balas dendam dia ni. Sampai raya ketujuh pulak tu.

“Haah. Sepuluh hari.”

Good! Bolehlah kita lama sikit kat kampung saya,” balasnya sambil memeluk pinggangku. Terdorong terus tubuhku ke dadanya. Mulalah dia ni!

“Awak, baik awak pilih baju mana awak nak guna kejap lagi sebab saya nak gosok baju awak dengan baju saya sekali,” cepat aku melarikan sedikit tubuhku daripada terlalu rapat dengan Shahfiq. 

Kalau bukan bulan puasa memang aku yang akan tolak dia ni atas katil! Memang laju saja dia ni nak menggoda tau.

“Kemeja warna hijau cair. Awak pun kena pakai baju kurung warna hijau jugak,” cadang Shahfiq tanpa memberi peluang untuk aku melarikan diri.

“Kalau dah macam ni macam mana saya nak gosok baju? Silap hari bulan bukan gosok baju tapi buka baju!” tegasku sedikit geram.

“Apa dia? Buka baju?” 

Shahfiq mula membuat muka terujanya. 

“Awak!” Aku mula memberi peringatan.

“Yalah – yalah. Sorry.” Ujar Shahfiq itu sambil meleraikan pelukan.

Aku tersenyum. Begitu juga Shahfiq. 

Kebahagian rumah – tangga tetap dirasa walaupun ada pertengkaran kecil berlaku. Itu baru hal balik kampung, lepas ni pasti ada lagi hal yang lain yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya perselisahan faham. Tapi, kalau ada sikap tolak ansur, insya – Allah semuanya akan baik – baik saja. Moga – moga aku dan Shahfiq macam tu jugak :-)
 
TAMAT

*****************

yehuu! cerpen baru lah. hikhik. 

sebenarnya sebelum raya lagi aku nak siapkan cerpen ni. tapi memandangkan aku ni suka sangat melengah - lengah sesuatu perkara maka raya dah nak habis dah baru aku dapat siapkan. 

syukur jugaklah sebab siap jugak akhirnya walaupun aku rasa macam banyak je kurangnya. jadi kalau ada yang TERLEBIH atau TERKURANG tu, maaf zahir dan batin ye.. peace!

semoga terhibur. kalau tak terhibur pun buat - buatlah terhibur :D




5 comments:

cik n.haliban said...

rate cerpen ni, sama rate dgn novel projek memikat suami. haha... utk org2 tertentu shj. =P

Kathy Tuah said...

@cik n.haliban - hehe..tau xpe..

Cerita Hanina said...

Uhuk uhuk uhuk.....tersedak saya....he he he

Cerita Hanina said...

tau apa ye? he he

Anonymous said...

Kim :

"Uhuk2!! ehemm! apa nie kak? hahaha. :3"