Tuesday, October 4, 2011

Cahaya Qaseh (8)

Hadirku bukan untuk menganggu tidurmu. 

Tan Sri Annuar dan Puan Sri Qaira tidak henti – henti bertanya dengan Aliff Firdaus tentang keputusan yang telah dibuat oleh anak bujang mereka itu. Mereka berdua tidak menyangka kepulangan mereka itu disambut dengan berita baik. Cahaya Qaseh antara insan yang paling gembira mendengar keputusan itu. Miasara yang turut ada bersama hanya bersuara apabila ditanya.
“Kalau macam tu tak lama lagi Qaseh dah ada kakak ipar. Esok jugak Qaseh bawak Mia pergi cari kain untuk buat baju akad nikah nanti.” Kata Cahaya Qaseh dengan penuh semangat. Miasara hanya tertunduk malu. Terserlah keayuan di wajahnya.
“Eh, dia pulak yang semangat.” Tegur Tan Sri Annuar sambil tergelak. Dia dan isterinya sememangnya berkenan dengan Miasara. Tambahan mereka suami isteri bukanlah antara golongan yang tidak memilih pangkat dan keturunan dalam memilih menantu. Asalkan anak mereka bahagia, itu sudah memadai.
“Mestilah pa, dulu tak sempat nak rasa semua ni,” jawab Cahaya Qaseh sambil berseloroh. Namun kata – katanya itu memberi kesan kepada mereka yang ada di situ. Serta – merta mereka semua diam. Cahaya Qaseh pula terpinga – pinga.
“Eh, kenapa pulak ni? Qaseh salah cakap ke?” tanya Cahaya Qaseh perlahan. Muka mamanya ditatap lama. Mohon penjelasan.
“Jangan sebut benda yang lepas. Mama tak suka,” tegur Puan Sri Qaira sambil mencubit pipi Cahaya Qaseh.
“Ops! Sorry. Apa – apa pun tahniah abang. Tahniah Mia. I’m happy for both of you.”
Aliff Firdaus yang duduk di sebelah Cahaya Qaseh pantas memaut bahu adik kesayangannya itu.
“Thanks! Abang pun doakan tak lama lagi adik abang yang paling cantik ni pulak yang kahwin,” doa Aliff Firdaus sambil tersenyum.
“Amin!” serentak sahaja Tan Sri Annuar, Puan Sri Qaira dan Miasara mengaminkan doa Aliff Firdaus. Akhirnya mereka semua tertawa. 

Cahaya Qaseh akhirnya mengambil alih spa milik mamanya apabila puas dipujuk oleh Tan Sri Annuar dan Puan Sri Qaira. Tambahan pula Puan Sri Qaira ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.
“Macam mana dengan spa? Semua okay?” tanya Puan Sri Qaira kepada Cahaya Qaseh yang baru sahaja melabuhkan punggung ke sofa. Cahaya Qaseh menarik nafas panjang. Ingatannya berpatah balik pada peristiwa di spa mamanya tadi.
Hari pertama menjaga spa mamanya itu dia sudah pun berjumpa dengan manusia yang paling dibenci dalam abad  21 ini. Kalau di KLCC hari tu dia sempat mengelak, tapi di spa mamanya tadi dia langsung tidak dapat melarikan diri. Farhana Damia! Gadis yang entah apa – apa bagi Cahaya Qaseh. Tergedik – gedik macam nak minta penampar! Geram betul dia melayan kerenah artis yang perasan popular itu.
“Bagilah dia berehat dulu. Macamlah nanti – nanti tak boleh nak tanya.” Tegur Tan Sri Annuar kepada isterinya itu membuatkan Cahaya Qaseh tersedar dari lamunan.
“Everything is okay. Cuma Qaseh tak sangka yang perempuan tu loyal customer mama.”  Jawab Cahaya Qaseh lalu melentokan kepalanya di sofa. Mata masih terpejam rapat.
“Siapa?” tanya Puan Sri Qaira.
“Damia Farhana! Macam nak hentak je kepala dia tadi. Nasib baik you staff dah cakap awal – awal yang dia tu pelanggan tetap kat situ. Dahlah berlagak semacam. Qaseh tau la dia tu artis tapi janganlah suka hati dia nak maki – maki staff kita.” Rungut Cahaya Qaseh. Matanya masih terpejam.
“Ye ke? Papa tak tau pulak yang dia pelanggan tetap dekat spa kita. Mama Qaseh ni pun tak pernah bagi tau.” celah Tan Sri Annuar pulak. Sempat dia menjeling isterinya.
“Dia datang sebagai pelanggan kita. Tak kan mama tak layan dia dengan baik pulak. Lagipun kalau kita tak layan dengan baik, nanti nama spa kita jugak yang jatuh. Qaseh kan ex - marketing student, mesti Qaseh tau macam mana penangan word – of – mouth kan?” jelas Puan Sri Qaira.
“Yup, I know that.” Jawab Cahaya Qaseh ringkas.
“Sorry kalau mama tak bagi tau awal – awal tentang perkara ni,” lembut sahaja suara Puan Sri Qaira membuatkan mata Cahaya Qaseh yang terpejam tadi kini terbuka luas.
“Tak ada benda yang mama perlu mintak maaf lah. Qaseh pun salah jugak sebab tak professional dalam bekerja.” Kata Cahaya Qaseh sambil tersenyum. Namun senyumnya mati apabila teringat akan sesuatu.
“Rindulah kat abang Aliff. Macam nak fly ke Singapore je.” Sayu sahaja suara Cahaya Qaseh. Tan Sri Annuar dan isterinya berpandangan sesama sendiri.
“Baru semalam abang Aliff balik dah rindu ke?” usik Tan Sri Annuar. Dia tahu hubungan kedua – dua anaknya itu agak rapat.
“Malam karang nak webcam la dengan abang.” Beritahu Cahaya Qaseh sambil tersenyum.
“Tapi malam ni papa dengan mama ada benda nak bincang dengan Iman, jadi papa rasa Qaseh perlu ada sekali,” kata Tan Sri Annuar.
“Pasal apa pa?” tanyanya. Puan Sri Qaira sudah pun menuju ke dapur apabila terhidu bau lauk yang agak menyelerakan.
“Malam karang Qaseh turun. Kita bincang. Dah, pergi naik. Mandi. Lepas tu jangan lupa kita solat Maghrib berjemaah.” Pesan Tan Sri Annuar kepada anak gadisnya itu. 

Selepas makan malam Miasara dan bibik sibuk mengemas di dapur, manakala Tan Sri Annuar, Puan Sri Qaira, Iman Hafifi dan Cahaya Qaseh bersantai di ruang tamu sambil menikmati puding mangga buatan Puan Sri Qaira sendiri.
“Mummy Iman ada call?” tanya Puan Sri Qaira kepada Iman Hafifi.
“Ada. Mummy dah cerita semua kat Iman pagi tadi.” Jawab Iman Hafifi perlahan.
“So, Iman macam mana? Setuju?” tanya Tan Sri Annuar pula. Cahaya Qaseh yang tidak tahu apa – apa hanya memasang telinga. Tunggu masa untuk bertanya tanpa henti.
“Terpulang pada mummy, daddy, mama dan papa. Iman ikut je,” sungguh tulus jawapan yang diberi oleh Iman Hafifi.
“Mana boleh macam tu, this is your future. Your life! Iman yang kena tentukan sendiri.” Tegas sahaja kata – kata Puan Sri Qaira. Iman Hafifi sempat mencuri pandang ke arah Cahaya Qaseh dan tanpa diduga pandangan mereka bertemu.
“Macam serius je benda ni. Sebelum Qaseh buat andaian yang bukan – bukan, baik bagi tau kat Qaseh sekarang ni tengah cerita pasal apa? Kesian kat Qaseh yang tak tau apa – apa ni,” pinta Cahaya Qaseh dengan muka sengaja dibuat sedih.
“Masa kat London hari tu mama dengan papa dah bincang dengan mummy and daddy Iman untuk buat majlis kahwin dia dengan Wafin hujung tahun ni. Bila balik sini dengar berita baik daripada Aliff pulak yang nak kahwin dengan Mia. Jadi mama fikir baik buat sekali je dengan Iman…”
“Stop! Kejap! Berhenti! Abang Iman dah nak kahwin dengan kak Wafin? Kenapa tak pernah ada sapa pun nak beritahu Qaseh tentang semua ni? Yang abang ni pun satu, duduk serumah dengan Qaseh tapi langsung tak bagi tau pun yang abang tu dah nak kahwin!” celah Cahaya Qaseh sambil matanya menerkam tepat ke wajah Iman Hafifi.  
“Qaseh, semua rancangan ni papa dengan mama yang buat. Mummy dengan daddy Qaseh kat sana pun dah setuju. Tak elok dia orang bertunang lama sangat.” Tan Sri Annuar pula bersuara.
“Ermm, betul jugak kan? Mesti meriah majlis tu nanti. Kalau Qaseh ada calon suami masa terdekat ni boleh lah Qaseh tumpang sekaki dua kaki.” Seloroh Cahaya Qaseh sambil tersenyum. Muka Iman Hafifi menjadi kelat apabila Cahaya Qaseh menyebut pasal calon suami. Dia ni dah ada calon jugak ke? Bisik hatinya.
“Mana boleh, untuk Qaseh kita buat majlis lain.” Bantah Tan Sri Annuar sambil tersenyum. Cahaya Qaseh hanya mengangguk. Betul jugak. Tak kan nak naik tiga pasangan sekali atas pelamin. Kang jadi pelamin anganku musnah sebab roboh. Eish – eish – eish! Tak naklah.
“So, bulan berapa nak buat majlis ni? Tak sabar pulak Qaseh ni,” Cahaya Qaseh bertanya lagi. Dia betul – betul nampak teruja.
“Tiga bulan lagi. Nanti Qaseh tolong mana yang patut tau. Mama tak larat nak buat sorang – sorang.” Kata Puan Sri Qaira.
“Ambil wedding planner je ma.” Iman Hafifi mencelah. Kali ini Cahaya Qaseh memandang tepat pada wajah Iman Hafifi. Di dalam hati, dia bersetuju dengan pendapat abang sepupunya itu.
“Papa pun rasa macam tu. Senang kalau kita guna khidmat wedding planner ni. Tapi mama kamu ni tak nak, dia nak jugak buat sendiri.” Mendatar sahaja suara Tan Sri Annuar .
“Ma, kita ambik wedding planner je ma. Qaseh berkenan sangat tengok sentuhan Jovian Mandagie. Boleh suruh dia design untuk baju pengantin nanti. Termasuk baju Qaseh sekali.” Pujuk Cahaya Qaseh pula.
“Tengok lah macam mana nanti,” ringkas sahaja jawapan Puan Sri Qaira. Dia sebenarnya ingin menguruskan sendiri semua keperluan untuk majlis Aliff Firdaus dan Iman Hafifi nanti.
“Jadi, Iman serahkan semuanya kat papa dan mama?” tanya Tan Sri Annuar lagi. Iman Hafifi hanya mengangguk.
“Kalau macam tu senanglah kerja papa dengan mama. Erm, papa nak naik atas.” Pinta Tan Sri Annuar sebelum bangkit. Puan Sri Qaira turut bangkit. Tinggal Cahaya Qaseh bersama Iman Hafifi. Cahaya Qaseh mencapai remote control TV plasma 42’ itu. Belum sempat Cahaya Qaseh hendak menekan butang ON, Iman Hafifi sudah pun bersuara.
“Mama bagi tau tadi esok nak pergi kenduri kat rumah uncle Mursid. Betul ke?”
“A’ah. Tapi macam malaslah Qaseh nak pergi.” Jawab Cahaya Qaseh. Serta – merta muka Amri bermain difikirannya.
“Papa ada ajak abang pergi sekali esok. Teringin jugak abang nak tengok orang yang nak menggantikan Aiman dulu.”
Muka Cahaya Qaseh terus berubah. Macam mana dia ni boleh tahu? Mesti abang Aliff yang bagi tahu ni. Cheese cake punya abang!
“Ni mesti abang Aliff yang bagi tau kan? Tak pandai simpan rahsia betullah dia tu.” rungut Cahaya Qaseh. Iman Hafifi hanya tersenyum hambar. Dia tidak menyangka rupa – rupanya ada lagi lelaki lain yang menaruh hati pada gadis yang sedang duduk dihadapannya itu.
“Jadi, Qaseh tetap tak nak pergi ke esok?” sekali lagi Iman Hafifi bertanya. Untuk kepastian.
“Tengoklah macam mana. Kalau papa dengan mama dapat diajak berunding secara aman, Qaseh tak pergilah. Kalau ada bantahan kenalah pergi jugak. Malas betul Qaseh!”
“Tak baik macam tu. Lagipun tu kan pak cik Qaseh jugak. Jangan lupa yang Amri tu kan dah kahwin. Dah ada anak pun. Kalau tak pun kita naik dua biji kereta. Qaseh ikut abang, biar papa dengan mama. Kalau kita nak balik awal pun senang. Tak payah nak tunggu papa dengan mama,” cadang Iman Hafifi.
“Qaseh suka cadangan abang tu. Qaseh pun tak nak duduk rumah tu lama – lama. Dah tunjuk muka, kita balik. Tapi pastikan makan dulu baru balik.” Katanya sambil tersenyum manis. Naluri lelaki Iman Hafifi bergetar setiap kali melihat senyuman yang bergayut di bibir Cahaya Qaseh. 

Tengah hari itu Cahaya Qaseh dan Iman Hafifi pergi menghadiri majlis perkahwinan Aleya. Cahaya Qaseh kelihatan anggun bila memakai kebaya moden berwarna merah jambu. Rambutnya disanggul rapi. Iman pula hanya memakai t-shirt putih. Sampai sahaja di perkarangan rumah Dato’ Mursid, Cahaya Qaseh disapa oleh seseorang.
“Ingatkan Qaseh tak datang,” tegur Amri sambil tersenyum.
“Assalammualaikum.” Salam pula yang dijawab oleh Cahaya Qaseh. Iman Hafifi sudah pun tersenyum. Dengan pantas Amri menjawab salam yang diberi oleh Cahaya Qaseh. Mukanya terasa panas. Cahaya Qaseh dan Iman Hafifi terus melangkah masuk menuju ke khemah. Aleya kelihatan cantik sekali di atas pelamin. Eh, macam kenal je laki Aleya tu. Tapi sapa erk?
“Lambatnya Qaseh sampai, dari tadi uncle tunggu.” Dato’ Murshid menyapa anak buahnya itu. Cahaya Qaseh terus mencium tangan Dato’ Murshid. Diikuti dengan Iman Hafifi. Isterinya Datin Salwa telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu.
“Maaflah uncle, Qaseh ada tiga jemputan kahwin hari ni. Sebelum pergi sini Qaseh singgah rumah yang satu tu dulu, lepas ni nak pergi rumah yang satu lagi.” Dalih Cahaya Qaseh.
“Kalau macam tu Qaseh pergi makan dulu. Tapi minggu depan uncle nak buat majlis kesyukuran jadi uncle nak Qaseh datang awal dan balik lambat tau,” pesan Dato’ Murshid sebelum melangkah pergi.
“Baik uncle Murshid tu kat Qaseh,” puji Iman Hafifi.
“Bapak dia baik tapi anak dia..huh!” bisik Cahaya Qaseh apabila terpandang Amri masih mencuri pandang kepadanya. Apa tengok – tengok?? Tempelaknya di dalam hati. Langkahnya dilajukan.
“Abang tengok sapa je tu?” tanya Aisha kepada suaminya.
“ Tu, anak uncle Annuar. Cahaya Qaseh.” beritahu Amri sambil menghalakan pandangan kepada Cahaya Qaseh yang sedang bersembang dengan beberapa orang sepupunya yang lain.
“Perempuan tu lah yang abang suka dulu kan?” tanya Aisha berbaur cemburu. Amri memaut bahu isterinya.
“Tak payahlah nak ungkit benda lama. Sekarang ni abang kan dah jadi milik Aisha sorang.” Pujuk Amri sambil tersenyum kepada isterinya. Namun dalam masa yang sama hatinya kuat mengatakan yang dia masih ingin memiliki Cahaya Qaseh.

BERSAMBUNG :)

0 comments: