Sunday, October 23, 2011

Cahaya Qaseh (21)




Bila Orang Ketiga Ingin Menjadi Yang Pertama.


Iman Hafifi hanya menundukkan kepala apabila mendengar kata – kata yang keluar dari mulut mummynya, Datin Izati. Dato’ Haziq masih mendiamkan diri. Belum mahu mencelah. Suasana di pejabat Iman Hafifi itu kembali sepi. Menyesal pula rasanya dia menceritakan tentang perasaannya terhadap Cahaya Qaseh kepada kedua orang tuanya itu.
“Mummy sayangkan kamu Iman. Mummy buat ni untuk kebaikan kamu jugak.” Sambung Datin Izati lagi.
“Dahlah tu, bagi masa dia fikir dulu.” Akhirnya Dato’ Haziq bersuara. Kesian pula dia melihat wajah anak tunggalnya itu dirundung keresahan.
“Iza bukan apa bang, Iza nak dia buang perasaan dia pada Qaseh tu. Yang sakit dia, yang cemburu dia jugak. Kalau Qaseh belum jadi isteri orang, Iza tak kisah dan Iza setuju sangat – sangat Qaseh jadi menantu kita. Qaseh pun dah bahagia dengan Aiman, dah mengandung pun. Jadi Iza tak nak sebab perasaan Iman ni nanti dia akan buat benda – benda yang tak elok sampai menganggu rumah tangga orang lain.” Hujah Datin Izati panjang lebar.
“Iman tak kan buat sampai macam tu mummy. Iman kan sayangkan Qaseh, tak kan Iman nak musnahkan kebahagian orang yang Iman sayang.” Iman Hafifi akhirnya bersuara. Wajahnya diangkat sedikit lalu memandang wajah kedua orang tuanya. Mohon pengertian.
“Terpulanglah pada kamu. Mummy cuma tak nak kamu kecewa. Kamu dengan Qaseh tu sepupu. Macam mana pun kamu tetap kena berdepan dengan dia jugak. Jadi mummy harap kamu jaga diri kamu tu. Lusa mummy dengan daddy dah pun nak balik London.” Pesan Datin Izati. Iman Hafifi menganggukkan kepala.
“Buat masa ni kamu fokus dengan company dulu. Daddy tengok kerja kamu pun tak berapa baik sejak kebelakangan ni. Jangan jatuh sebab cinta Iman, tapi bangkitkan sebab cinta. Lagi – lagi cinta pada Allah. Kamu mungkin hilang cinta Qaseh tapi kamu kena bersyukur sebab kamu masih punya cinta Allah. Yakin dan bersangka baiklah pada setiap dugaan yang Allah dah beri.” Dato’ Haziq pula mengingatkan anaknya.
“Terima kasih daddy, mummy. Dah nak lunch time ni, jom kita makan. Iman belanja makan kari kepala ikan. Tempat yang selalu Iman dengan Qaseh pergi dulu.” Katanya lalu bangkit. Datin Izati memandang suaminya, lantas berbisik.
“Dengar tu. Qaseh lagi.” 


Syuhada masih setia menanti di ruangan menunggu. Kelibat Tengku Aiman masih belum kelihatan. Sudah tiga kali dia bertanya kepada Hani, penyambut tetamu di syarikat Tengku Aiman tetapi Hani tetap mengatakan Tengku Aiman masih di dalam bilik mesyuarat.
“Boleh saya berjumpa dengan Encik Tengku Aiman?” tiba – tiba seorang perempuan mengandung bertanya kepada Hani. Syuhada sempat mengerling kepada perempuan yang nampak bergaya itu.
“Maaf cik. Encik Aiman tengah meeting. Erm, cik ada buat appointment dengan dia ke?” ramah sahaja Hani berkata.
“Ada.”
“Kalau macam tu cik tunggu sekejap ye. Kejap lagi Encik Aiman habis meeting.” Jawab Hani lagi. Perempuan itu terus mengambil tempat duduk tidak jauh dari Syuhada. Syuhada bangkit menuju ke tandas tanpa membalas senyuman yang dihulurkan oleh perempuan tadi. 


Keluar sahaja dari meeting room, Tengku Aiman terus menuju ke biliknya. Sekejap lagi dia akan menemani Cahaya Qaseh membuat pemeriksaan kandungan di klinik. Baru sahaja dia hendak mencapai kunci kereta, biliknya diketuk dari luar.
“Masuk!”
“Maaf Encik Aiman, ada dua orang tetamu nak jumpa encik.” Beritahu Aida setelah mendapat tahu daripada Hani. Tengku Aiman mengerutkan dahi. Setahunya dia tidak punya apa – apa temu janji lagi.
“Siapa?”
“Sorang tu Syuhada yang datang hari tu. Yang sorang lagi tu saya tak kenal. Tapi dia kata dia ada buat appointment dengan encik. Cuma yang peliknya semua appointment encik saya yang handle. Maybe personal appointment kut?” terang Aida kepada bossnya.
“Kalau personal appointment selalunya my wife je kan? Tapi tak apa, bagi dia masuk dulu. Lagipun saya ada masa sikit ni. Pasal Syuhada tu biar jelah dia.” Arah Tengku Aiman. Aida mengangguk lalu melangkah keluar. 


“Assalammualaikum.” Sapa satu suara. Tengku Aiman mengangkat muka memandang ke arah muka pintu. Wajahnya berubah apabila melihat Wafin sudah tersenyum kepadanya. Salam Wafin dibalas.
“Silakan duduk.” Perlawa Tengku Aiman kepada Wafin yang masih asyik melihat suasana pejabat Tengku Aiman. Boleh tahan jugak office mamat ni. Bisiknya dalam hati.
“Straight to the point ye, boleh bagi tau ada apa Cik Wafin nak jumpa saya?” tanya Tengku Aiman masih menggunakan bahasa formalnya. Wafin ketawa kecil.
“Tak payah bercik – cik lah Aiman. Panggil saya Wafin je. Saya nak ucapkan tahniah sebab tak lama lagi dah jadi ayah.”
“Terima kasih. Pasal tu je ke yang bawak Cik Wafin sampai ke sini?” soal Tengku Aiman mula curiga. Wafin masih lagi ketawa. Wajah Tengku Aiman ditatap lama.
“Tapi saya rasa anak yang Qaseh kandung tu bukan anak awak! Tapi anak Iman.”
Tengku Aiman tergamam. Pada masa yang sama Syuhada mengintip di celah daun pintu apabila melihat Aida sudah tidak ada di tempatnya.
“Jangan nak merepek Wafin!” balas Tengku Aiman. Tidak senang mendengar kata – kata Wafin. Wafin sudah pun tersenyum mengejek. Siaplah kau kali ni Qaseh, aku akan pastikan laki kau akan tinggalkan kau macam mana laki aku tinggalkan aku! Janji Wafin dalam hati.
“Kalau tak percaya, awak tanya Qaseh. Tanya kenapa dia tiba – tiba terima awak. Kenapa dia tiba – tiba nak berkahwin dengan awak.”
Tengku Aiman menelan air liur. Tak kanlah Cahaya sanggup buat macam tu. Bidasnya dalam hati.
“Aiman, awak kena ingat satu benda je. Sebelum awak kahwin dengan Qaseh, dia sedang memadu kasih dengan Iman tau. Lepas Iman kahwin dengan saya je baru dia orang jarang jumpa. Tapi dia orang masih jugak jumpa di rumah keluarga Qaseh. Yelah dah mereka tu sepupu kan? Tapi cuba awak fikir kalau dah duduk satu rumah tu macam mana? Malam – malam kalau semua penghuni rumah tu dah tidur apa akan jadi? Tak ada siapa yang tau kalau Iman tidur dengan Qaseh!” Racun Wafin lagi. Sekali lagi Tengku Aiman tersentak. Perasaannya mula bercampur baur.
“Sebab tu jugaklah Iman tinggalkan saya. Sebab dia rasa bersalah dengan apa yang jadi dekat saya. Saya cari lelaki lain sebab dia cari perempuan lain. Saya tak akan tidur dengan lelaki lain kalau dia tidak tidur dengan perempuan lain.” Wafin mula tersesak – esak. Cuba membuat Tengku Aiman percaya walaupun segala cerita itu hanya dibuat spontan. Entah mengena ke tidak, dia tidak pasti. Yang pasti dia kena mencuba juga. Walaupun kedengaran ceritanya itu agak tidak logik.
“Saya tak percaya Wafin! Cahaya bukan macam tu.” Bidas Tengku Aiman. Mempertahankan isterinya.
“Tapi, Syu rasa betul apa yang dia ni katakan.” Entah kenapa Syuhada merasakan inilah peluang dia untuk mendapatkan Tengku Aiman. Tengku Aiman pantas menoleh ke arah Syuhada. Fikirannya makin bercelaru. Wafin turut terkejut dengan kemunculan Syuhada. Hatinya mula tidak senang dengan kehadiran Syuhada. Siapa pulak ni?
“Syu jangan nak masuk campur!” tengking Tengku Aiman membuatkan Wafin terkejut. Namun Syuhada masih mara ke depan. Duduk disebelah Wafin.
“Abang, Syu memang dah agak dah semua ni akan jadi. Lagi – lagi masa raya kat rumah Qaseh dulu. Abang pun nampak kan apa yang Syu nampak? Syu sendiri sedih tengok Qaseh sibuk layan jantan lain. Mesra pulak tu. Depan kita dia orang dah berani mesra macam tu, belakang kita entah – entah lebih mesra daripada tu.”
Wafin mengerling ke arah perempuan yang menggelarkan dirinya Syu itu. Walaupun aku tak tahu apa agenda dia ni tapi sekurang – kurangnya dia punya  misi yang sama iaitu meracuni fikiran Aiman. Bagus! Wafin bermonolog sendiri.
“Syu, Iman dengan Cahaya tu sepupu, tahu!” balas Tengku Aiman masih tidak puas hati. Kepalanya dipicit pelahan. Wafin sudah pun tersenyum dalam hati.
“Kenapa? Kalau sepupu tak boleh kahwin? Tak boleh nak buat maksiat?” lancang sahaja Syuhada menjawab. Tengku Aiman terkedu.
“Abang, kalau nak buat benda terkutuk tu bapak dengan anak pun boleh jadi. Inikan pulak sepupu yang ada perasaan satu sama lain. Bukak sikit mata abang tu. Jangan disebabkan abang sayangkan Qaseh, abang butakan mata abang atas semua yang dia buat. Come on abang! Abang tu lelaki. Jangan nanti bila anak tu dah lahir tapi tak kenal sapa bapak dia. Abang nak macam tu?” sambung Syuhada lagi. Kali ini dia betul – betul nekad. Pergh! Boleh tahan minah ni. Makin senanglah kerja aku. Baik aku sambung pulak. Biar Aiman ni sakit kepala. Tapi yang paling penting sakit hati! Kata Wafin dalam hati.
“Saya bukannya nak dengki ke apa tapi ini untuk kebaikan awak jugak. Saya dan Iman sudah pun bercerai dan saya akan berkahwin dengan ayah kandung baby dalam perut ni. Saya kena lakukan semua ni untuk masa depan baby ni jugak. Yelah, manusia mana tak pernah buat silap kan? Jadi saya tak nak baby ni lahir nanti tak ada ayah. Kalau saya masih dengan Iman pun, tak kan saya nak hidup dalam kepura – puraan dengan mengatakan anak ini anak Iman sedangkan ini bukan anak Iman.” Sayu sahaja suara Wafin. Sekadar mencantikkan lagi lakonannya.
Tengku Aiman terasa nafasnya seakan sesak mendengar kata – kata Syuhada dan Wafin itu. Kemesraan Iman Hafifi dan isterinya mula menabiri birai matanya. Ya, itu di depan mata yang boleh dilihat tapi di belakang mereka? Arghhhh!! Tidak sanggup dia hendak membayangkan isterinya ‘bersama’ dengan lelaki lain.
“Korang tolong keluar sekarang.” Pinta Tengku Aiman lemah. Wafin dapat merasakan umpannya mula mengena.
“Tapi abang..”
“Aku cakap keluar, keluar lah!!!” tempik Tengku Aiman. Terkulat – kulat Syuhada dan Wafin keluar dari bilik itu. Apabila daun pintu ditutup, Wafin mengeluarkan business card nya lalu dihulurkan kepada Syuhada.
“Aku ingin sangat nak berbual dengan kau, tapi aku kejar masa. So, esok kalau kau free tolong call aku. Kita jumpa.” Kata Wafin sebelum berlalu. Syuhada sekadar mengangguk. 


Cahaya Qaseh tersenyum senang apabila melihat kereta Tengku Aiman masuk ke perkarangan rumah. Tas tangan dicapai. Temu janji dengan doktor setengah jam lagi. Baru sahaja dia hendak melangkah keluar, kelihatan Tengku Aiman keluar dari kereta dengan muka yang kelat. Kenapa lagi ni? Soal Cahaya Qaseh di dalam hati.
“Assalammualaikum.” Tengku Aiman memberi salam kepada isterinya yang masih tercegat di muka pintu. Cuba untuk berlagak biasa.
“Waalaikummussalam. Kenapa muka kelat je ni? Banyak kerja kat office ke?” Tanya Cahaya Qaseh setelah menyalami tangan suaminya. Tengku Aiman mencium dahi Cahaya Qaseh. Tenang hatinya apabila melihat wajah isterinya itu. Tapi ketenangan itu tidak lama.
“Boleh tahan. Sayang dah makan?” Tanyanya sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Melihat sahaja kelibat Tengku Aiman, bibik terus membuat minuman.
“Dah. Qaseh makan dengan mama tadi. Ingatkan abang tak singgah rumah. Abang ni dah makan ke belum?” tanya Cahaya Qaseh pula. Tengku Aiman tidak segera menjawab. Sebaliknya dia terus menuju ke bilik mereka. Cahaya Qaseh semakin kehairanan. Dahlah kejap lagi nak jumpa doktor tapi dia ni macam buat – buat tak tau je. Bisik hati kecil Cahaya Qaseh, namun langkahnya tetap mengikut suaminya dari belakang. Bibik yang baru sahaja siap membancuh air kembali semula ke dapur dengan air tadi apabila melihat ruang tamu sudah tiada kelibat mereka suami isteri.
“Abang dah batalkan temu janji sayang petang ni. Kita pergi awal pagi esok ye.” Beritahu Tengku Aiman setelah terdampar di dada katil. Dia perlu tenangkan fikiran.
“Tapi kenapa?” tanya Cahaya Qaseh lalu duduk di birai katil. Menanti jawapan suaminya. Tengku Aiman menarik Cahaya Qaseh dalam pelukan.
“Abang, Qaseh tanya ni. Kenapa abang tiba – tiba batalkan appointment tu?”
“Abang tak ada mood nak keluar petang ni.”
Cahaya Qaseh melepaskan diri dari pelukan suaminya. Wajah Tengku Aiman dipandang lama. Pasti ada yang tidak kena. Tapi apa?
“What going on?” tanya Cahaya Qaseh. Kali ini lebih serius nada suaranya. Tengku Aiman bangkit dari katil. Membuka kemeja dan menggantikan dengan t-shirt. Dia memang tidak akan ke mana – mana petang ni. Seluar turut ditukar. Cahaya Qaseh semakin geram dengan suaminya. Aku tanya dia buat tak tau je!
“Kalau abang tak nak temankan Qaseh sekalipun abang cakap kat Qaseh, Qaseh boleh pergi sendiri. Qaseh boleh drive sendiri. Tapi abang tak payahlah batalkan appointment tu. Ni bukan untuk Qaseh, abang. Tapi untuk baby kita.”
“Baby kita? Sayang pasti ke tu baby kita?” Tanya Tengku Aiman tanpa memandang wajah isterinya. Suaranya masih macam tadi. Mendatar sahaja.
Cahaya Qaseh tersentak. Ya Allah, apa tak kena dengan dia ni?
“Apa yang abang cakap kan ni?” Cuba mengawal perasaan. Jangan nak buat hal Tengku Aiman! Marahnya dalam hati.
“Abang cuma tanya, sayang pasti ke tu baby kita?” Tanya Tengku Aiman sekali lagi. Walaupun nada suaranya masih mendatar tapi penuh dengan sindiran. Cahaya Qaseh mengucap panjang. Tangan Tengku Aiman ditarik lembut. Mata suaminya ditatap dalam – dalam.
“Abang, Qaseh tak tau siapa dah racun fikiran abang ni sampai abang sanggup cakap macam tu kat Qaseh. Dengan nama Allah, ini baby kita. Tak kan abang tak dapat rasa?” perlahan saja suara Cahaya Qaseh. Hatinya cukup terkilan bila mendengar suaminya sendiri tidak mengaku anak yang dikandungnya itu anaknya sendiri. Tengku Aiman melepaskan satu keluhan. Dia sendiri masih keliru dengan kata – kata Wafin tapi bila diingatkan kembali kemesraan Iman Hafifi dan isterinya dia tidak dapat menyangkal kebenaran disebalik kata – kata Wafin itu. Tambahan kesudian Cahaya Qaseh menerimanya secara tiba – tiba amat mencurigakan.
“Sayang, abang sayangkan sayang. Jadi abang tak akan marah kalau sayang mengaku apa yang dah berlaku walaupun berat hati abang nak terima. Lagipun setiap manusia pernah buat salahkan? Cuma abang nak sayang jujur dengan abang. Tak kan sayang nak biarkan baby tu lahir tanpa kenal siapa ayah dia yang sebenar.” Tutur Tengku Aiman lembut. Dia hanya mahu Cahaya Qaseh mengaku. Itu sahaja. Jika benar itu bukan anaknya dia redha. Tapi dia tidak akan melepaskan Cahaya Qaseh. Cahaya Qaseh merupakan ‘cahaya’ dalam hidupnya.
Terasa hendak gugur jantung Cahaya Qaseh mendengar apa yang diungkapkan oleh Tengku Aiman. Air matanya mula mengalir tanpa diminta. Perutnya dipegang lama. Sayang, jangan dengar apa yang papa sayang cakap tu tau. Bisiknya dalam hati. Hanya untuk anak di dalam kandungannya itu.
“Sampai hati abang cakap macam tu dekat Qaseh. Kalau abang tak nak mengaku Qaseh ni isteri abang, Qaseh boleh terima lagi tapi Qaseh tak boleh terima bila abang mula meragui baby dalam kandungan Qaseh ni. Jahat sangat ke Qaseh ni sampai Qaseh sanggup tidur dengan lelaki lain? Teruk sangat ke Qaseh ni sampai sanggup mengandungkan anak orang lain?” rintih Cahaya Qaseh dalam tangisannya.
Tengku Aiman memeluk erat Cahaya Qaseh. Dahi isterinya dikucup penuh kasih. Dia sayangkan Cahaya Qaseh jadi dia akan terima apa sahaja pengakuan Cahaya Qaseh walaupun pengakuan itu akan meragut hatinya sendiri.
“Please sayang. Abang rayu pada sayang. Abang tak mintak lain, abang nak sayang mengaku je pada abang yang baby tu anak Iman. Abang janji abang tak kan tinggalkan sayang dan baby ni, cuma abang nak sayang jujur pada abang.” Ujar Tengku Aiman lagi. Ya, dia hanya nak Cahaya Qaseh jujur dengannya. Mendengar kata – kata Tengku Aiman membuatkan Cahaya Qaseh menolak kasar tubuh suaminya. Tengku Aiman terpana.
“Abang, ini anak abang. Anak kita! Sampai hati abang meragui Qaseh. Meragui anak yang dari darah abang sendiri. Qaseh betul – betul tak sangka suami Qaseh sendiri meragui anak yang Qaseh kandungkan ni. Qaseh betul – betul tak sangka!” Tangis Cahaya Qaseh lalu keluar dari biliknya. Tengku Aiman terduduk di birai katil. Fikirannya buntu. Wajahnya diraup perlahan. 


bersambung :)
p/s - gambar xde kaitan..huhu..dan sumber gambar dari SINI.

4 comments:

EYQASARA said...

alaaa..nak tau cerita ni strusnya.. eh, awk mmg tulis sndiri ye? best laaa.. (^^)

Balqis Husnina said...

Huuu, sedih nye laa ending untuk entry kali ni! But luckily, Tengku Aiman tak mengamuk sakan ke pukul Qaseh ke. HAHAHA.

Kathy Tuah said...

eyqa - tunggu next entri k..a'ah, buat sendiri..saje je suka2 :) apa2 pun tq..

balqis - tq balqis..tunggu next entri k ^^

EYQASARA said...

awk penah wat novel ke? Klu ade tjuk ape ye? Sy nak cari laaa.. seriously sy suka sgt cara awk menulis... klu awk ada novel mmg sy carik smpai dpt.. hihihi.. (^^)