AMMAR
menguis nasi lemak yang berbaki tiga suapan itu. Kata – kata adiknya tadi mematahkan
selera yang hampir sahaja ke garisan penamat. Andai adiknya tidak membuka mulut
untuk bercerita, sudah pasti tiga suapan terakhir nasi lemak itu telah selamat
masuk ke dalam perut.
“Adik rasa, mak tu dah termakan
hasutan Mak Cik Phidah.”
Dia memandang semula wajah adiknya,
Anis yang sejak tadi melaporkan berita terkini yang terjadi di rumah mereka.
Memandangkan Anis sedang menunggu keputusan SPM, jadi dialah yang akan tahu
setiap apa yang berlaku dalam keluarga mereka. Dia sendiri sudah lama tinggal
di rumah sewa kerana lebih dekat untuk ke tempat kerja.
“Kenapa adik cakap macam tu?” tanya
Ammar lalu membawa pinggan ke singki.
Nasi lemak yang berbaki dimasukkan
ke dalam plastik yang disangkut di tepi tingkap. Sambil menunggu balasan
adiknya, dia membasuh pinggan yang ada.
“Yalah, semua yang Mak Cik Phidah
cakap mak sokong je. Macam mak dah kenal lama dengan dia sedangkan kita pindah
kat sini tak sampai tiga bulan pun.”
“Along pulak tahu ke pasal mak ni?”
“Along dengan laki dia dua kali
lima. Dah jadi geng Mak Cik Phidah jugak. Yang paling adik pelik, sejak Kak Nisa
makan tengah hari kat sinilah makin menjadi – jadi loyar buruk Mak Cik Phidah
tu. Entah apa yang dia tak berkenan sangat dengan Kak Nisa pun adik tak tau!”
Ingatan Ammar menjalar ke peristiwa
tiga minggu lepas di mana dia ada mengajak Nisa, teman wanitanya datang ke
rumah. Itulah kali pertama Nisa ke rumah keluarganya setelah hampir enam tahun
mereka berkenalan. Sambutan keluarganya pada Nisa agak biasa – biasa saja. Cuma
yang nyata, Nisa seperti tidak selesa dengan cara keluarganya itu.
“Mak Cik Phidah cakap apa pasal Kak
Nisa?”
“Dia cakap susah kalau mak bermenantukan
Kak Nisa sebab Kak Nisa tak sama negeri dengan kita. Nanti nak balik raya
susah. Bergaduhlah, itulah, inilah. Geram adik dengar tahu, tak? Macamlah Kak
Nisa tu duduk dekat luar daripada Malaysia. Johor dengan KL jarak dia
sekangkang kera aje. Itu pun nak dikisahkan,” omel Anis.
“Dan untuk pengetahuan abang, dia
cakap abang dah kena ubat guna – guna,” bisik Anis dengan raut wajah yang cukup
serius.
Mencerlung mata Ammar tatkala
mendengar bisikan Anis. Enam tahun dia kenal hati budi Nisa, jadi dia tahu
gadis itu tidak pernah membuat perkara seumpama itu. Dia menyintai Nisa kerana
hatinya sendiri. Bukan kerana buatan orang!
“Betul ngah, adik sendiri yang
dengar. Kalau angah tak percaya terpulanglah. Tapi adik rasa baik angah dan Kak
Nisa kahwin cepat – cepat,” sambung Anis lagi.
“Nak kahwin macam mana kalau mak
asyik berdalih bila angah ajak bincang pasal perkara tu,” Ammar membalas
bersama keluhan berat. Dia yang sedari tadi berdiri di tepi singki mula beredar
ke depan.
Anis mengekori daripada belakang.
Walaupun dia jarang bertemu dengan kekasih abangnya itu, tapi dia tahu Kak Nisa
seorang gadis yang sesuai dibuat kakak ipar. Dengan wajahnya yang sentiasa
berseri dengan senyuman membuatkan sesiapa yang memandang akan merasa senang.
“Angah nak ke mana ni?” soal Anis
apabila Ammar mencapai kunci kereta lalu melangkah keluar.
“Angah nak balik. Sampaikan aje
salam angah pada mak.”
Anis hanya ternganga di situ. Dia
tidak menyangka kepulangan abangnya kali ini hanya bertahan selama dua jam.
Salah dia juga yang laju sangat menceritakan tentang Mak Phidah pada abangnya
itu.
“EH, kenapa balik sini?”
“Tak suka ke saya balik sini?”
“Tak bukan macam tu. Tadi awak cakap
nak tidur rumah mak malam ni dan malam esok. Tapi alih – alih dah ada depan
mata saya ni.”
Ammar tidak membalas kata – kata
Nisa. Sebaiknya dia terus melabuhkan punggung di sofa kecil berdepan dengan tv.
Sudah hampir tiga tahun dia dan Nisa bersekedudukan. Dia sendiri tidak tahu
sampai bila dia dan Nisa akan begini. Bergelombang dengan dosa tanpa nampak
sebarang perhentian untuk berhenti. Nisa juga kerap menyoal perkara yang sama.
Perkara di mana mereka disahkan sebagai suami – isteri yang sebenar.
“Kenapa ni?” lembut Nisa bertanya
lalu meletakkan secawan kopi panas di atas meja.
Rutin Nisa tidak pernah berubah.
Andai dia masuk ke dalam rumah, pasti akan dihidang air kopi kesukaannya. Tidak
perlu diminta kerana ia sudah tersedia.
“Letih. Balik dari rumah mak tadi
saya singgah ke Rembau. Jumpa kawan lama,” bohong Ammar.
Dia
ke Rembau bukanlah berjumpa dengan kawan lama tetapi menghantar anak Mak Phidah
yang bernama Fatin. Ketika dia sudah lima ratus meter keluar daripada rumahnya,
dia mendapat panggilan daripada Anis yang mengatakan dompetnya tertinggal.
Memandangkan di dalam dompet itu tersimpan kad pengenalan, lesen memandu dan
beberapa kad yang lain, dia terpaksa juga untuk berpatah balik. Ketika itulah
dia terserempak dengan Mak Phidah. Pada mulanya dia buat tidak endah sahaja,
tapi teguran lembut Haji Kahar, suami kepada Mak Phidah membuatkan dia terpaksa
bermulut manis. Takut dikatakan kurang ajar pula.
Menurut
Haji Kahar keretanya tidak boleh dihidupkan sedangkan mereka perlu menghantar
Fatin ke Rembau kerana anak mereka itu ada aktiviti di sana. Dengan suara Haji
Kahar yang lembut, dia tidak sampai hati hendak menolak permintaan jirannya itu
untuk menghantar Fatin ke sana. Dan itulah kali pertama dia melihat anak gadis
Haji Kahar dan Mak Phidah yang bernama Fatin. Bertudung litup dan berjubah.
Pandangannya juga dijaga dengan baik. Terpuji juga hatinya dengan akhlak Fatin
tadi.
“Awak..awak dengar tak apa yang saya
cakapkan ni?” Nisa mula tarik muka.
Berjela – jela dia bercakap tetapi
langsung tidak mendapat perhatian Ammar. Wajah lelaki itu nampak kosong umpama
orang yang tidak ada perasaan.
“Dengar.”
“Awak dengar apa?”
“Saya dengar yang awak cakap stok
tudung dan baju kurung dah sampai. Malam ni awak mintak tolong saya packing
sebab esok nak pos pada pelanggan.”
“Ingatkan tak dengar tadi,” Nisa
senyum kembali.
Ammar tersenyum kelat. Nasib baik
telinganya sempat menangkap serba – sedikit percakapan Nisa sebentar tadi. Nisa
bekerja sendiri. Menjual tudung dan baju kurung secara online. Tiga tahun
berkecimpung di dalam bidang itu membuatkan Nisa tidak betah untuk bekerja dengan
orang lain. Dia sendiri lebih suka bila Nisa bekerja di rumah. Senang dipantau
dan diperhati.
“Malam ni saya tidur sini,” beritahu
Ammar.
Walaupun dia ada rumah sewa sendiri
tapi dia lebih kerap tinggal di rumah Nisa. Di situ makan, minum dan pakainya
lebih terjaga.
Nisa hanya menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu, awak nak makan apa
malam ni? Dalam peti sejuk tu ada daging, ikan gerut dengan sotong. Sayur pulak
hanya ada kobis dan cendawan. Hurm, lusa kena pergi beli barang dapur.”
“Tolong buatkan kari ikan gerut,
sambal sotong dengan kobis masak tumis. Boleh?”
“Mestilah boleh. Nah, awak minum air
ni dulu. Dah sejuk dah,” Nisa menghulurkan air kopi tad kepada Ammar.
Melihat layanan Nisa, Ammar
tersentuh. Gadis itu memang calon isteri yang hampir sempurna. Sejak mereka
‘tinggal’ bersama, Nisa jarang mengabaikan keperluannya. Dalam soal makan pula,
Nisa akan bertanya dengannya. Hendak sarapan apa, makan malam makan apa pula.
Rasanya tidak pernah Nisa tidak memasak untuknya kecuali gadis itu teringin
hendak makan di luar. Andai Nisa ini sudah sah menjadi isterinya, jaminan
syurga, insya – ALLAH akan menjadi milinya.
“Asyik termenung je!” Nisa menepuk
pahanya sebelum melangkah ke dapur.
Dia hanya memerhati Nisa dari sofa.
Jarak ruang tamu kecil ke dapur bukanlah jauh mana. Nisa bukanlah gadis yang
cantik rupawan. Bukan juga golongan yang kaya – raya. Walaupun membesar di
bandar besar Kuala Lumpur, Nisa tetap seperti gadis biasa yang lain. Dan yang
paling istimewa adalah keluarga Nisa. Terlalu baik dengan dirinya. Sejak enam
tahun berkenalan dengan Nisa, dialah yang lebih kerap berkunjung di rumah
keluaga gadis itu. Tetapi Nisa pula hanya sekali ke rumah keluarganya. Itu pun
dilayan penuh hambar.
ENTAH
di mana silapnya, Ammar yang dulu jarang balik ke rumah emaknya, kini
hampir setiap minggu dia balik ke sana. Dan setiap kali balik, dia akan diminta
untuk menghantar Fatin ke Rembau. Gadis itu rupa – rupanya bekerja sebagai
kerani di sebuah kedai cermin mata. Bekerja dari isnin hingga jumaat dan akan
balik ke Muar pada petang jumaat itu. Fatin tidak pandai memandu, jadi agak
payah untuk dia bergerak.
“Mak berkenan dengan Fatin tu. Kalau
kamu tak ada Nisa, nak saja mak suruh kamu kahwin dengan Fatin,” emaknya mula
bersuara.
Ammar yang baru saja bersembang
dengan Nisa di telefon segera berpaling. Anis yang sedang membaca novel turut
memandang wajah emak mereka.
“Apa kurangnya Nisa, mak?” soal
Ammar. Soalan yang sama keluar daripada mulutnya ketika prihal Nisa
dibangkitkan.
“Dia memang tak ada yang kurangnya
tapi Fatin tu memang lebih sikit daripada Nisa. Pakaiannya terjaga, solatnya
apatah lagi. Hormat orang tua. Rajin mengaji. Tapi Nisa? Dia mengaji pun tak
retikan?” sinis sekali emaknya memerli.
“Tapi diakan sedang belajar sekarang
ni, mak?” Ammar menjawab lembut.
Nisa sememangnya dalam proses
belajar mengaji. Selain itu Nisa juga lebih rajin solat berbanding dirinya.
Walaupun bergelombang dengan maksiat, Nisa tetap mendirikan solat.
“Huh! Entah apa yang dia bagi dekat
kamu pun mak tak tahu. Asyik nak menangkan dia aje! Yang ada depan kamu ni, mak
kamu Am. Bila kamu dah berkahwin sekali pun nanti, syurga kamu tetap bawah kaki
mak! Bukan bawah kaki bini kamu!” bentak emaknya geram.
Anis segera angkat punggung apabila
melihat ketegangan mula berlaku. Di luar pula kelihatan kereta kak long mereka
masuk di perkarangan rumah.
“Perkahwinan tanpa restu takkan ke
mana, Am,” kali ini suara emaknya mula mengendur.
“Mak nak kamu berkahwin dengan
perempuan yang baik. Daripada keturunan yang baik – baik. Mak pun ada bertanya
sendiri dengan Mak Phidah sama ada Fatin sudah berpunya ke belum. Mak Phidah
cakap Fatin masih solo. Tunggu orang masuk meminang saja sebab dia tidak mahu
bercinta sebelum nikah yang akan mengheret kepada lembah zina!”
Ammar terpempan. Kata – kata itu
terkena pada batang hidungnya sendiri. Dia dan Nisalah antara pasangan yang
bercinta hingga ke lembah zina.
“Kak long pun dah cakap dengan Nisa,
supaya dia fikir semula untuk berkahwin dengan kamu. Dan dia sendiri cakap yang
dia akan undur diri andai itu kehendak emak kita ni. Dia pun tak nak berkahwin
tanpa restu keluarga,” celah kak long.
Sekali lagi Ammar tersentak.
Patutlah suara Nisa tadi lain macam saja bunyinya. Pasti gadis itu sudah puas
menangis. Enam tahun kenal dengan Nisa jadi tidak susah dia menembak gerak –
geri gadis itu.
“Bila kak long cakap dengan dia?”
Anis yang baru keluar dari bilik datang menyampuk.
“Kak long call dia malam tadi. Tapi
kak long cakap elok – elok ye. Tak ada nak marah – marah dia.”
“Kami buat semua ni, untuk
kebahagian kamu juga, Am. Dan kebahagian kamu adalah kebahagian mak jugak.”
Suara pilu emaknya itu menyentap
tangkai hati Ammar. Lama benar dia tidak melihat suara seperti itu. Demi Tuhan,
dia bukanlah seorang anak yang suka menyakitkan hati wanita yang bergelar ibu.
Kalau tidak, masakan dia pernah digelar anak emak oleh beberapa orang teman –
temannya. Apa saja yang emaknya minta, pasti akan dituruti kecuali berkaitan
dengan Nisa. Jenuh dia memujuk emaknya, tapi hasilnya masih tiada.
“Kamu fikir jelah baik – baik, Am,”
sambung emaknya lalu bingkas meninggalkan mereka di situ.
NISA
melebarkan pandangan di luar balkoni kecil yang ada di flatnya itu. Sesekali
dia mendongak memandang langit gelap. Sapaan angin malam diterima dengan hati
yang galau. Dua hari dia meratapi pernikahan Ammar. Dua hari dia tidak makan
dan dua hari dia matikan telefon bimbitnya.
Dua bulan lepas, setelah mendapat
panggilan daripada kak long Ammar, dia dan Ammar telah berbincang sebaik
mungkin. Menurut Ammar, dia akan cuba untuk mencari jalan untuk mereka
berkahwin. Ammar juga berjanji tidak akan mensia – siakan dirinya. Tapi janji
tinggal janji. Lelaki yang masih bertakhta di hatinya itu telah pun selamat
berkahwin dengan seorang gadis pilihan keluarga. Luka di hati bagai ditarah
dengan belati tajam. Sakitnya boleh melumpuhkan semangat di jiwa. Peritnya
boleh menghabiskan air mata yang ada.
Sebenarnya, sejak balik daripada
rumah Ammar dulu, dia kerap dihujani pesanan ringkas daripada emak Ammar.
Begitu juga dengan kakak Ammar yang sering menelefonnya dengan bertujuan
mengingatkan dirinya agar belajar lupakan Ammar. Walaupun kata – kata itu
lembut didengar tetapi hakikatnya kasar apabila difahami. Selama dua bulan
itulah hatinya disakiti oleh emak dan kakak Ammar. Nasib baik, Anis berpihak
kepadanya. Anis juga yang mengatakan Ammar telah pun selamat berkahwin. Dan
yang paling menyebalkan, Ammar langsung tidak memberitahunya. Hubungan mereka
juga sebenarnya masih berjalan seperti biasa sebelum majlis Ammar itu.
“Nisa! Nisa!” terdengar satu suara
memanggil daripada luar.
Dia lantas membuka pintu. Terjengul
kepala Ella. Melihat wajah Ella saja air matanya luruh semula. Dia memeluk
temannya itu.
“Sabarlah. Mungkin bukan jodoh kau
dengan dia,” pujuk Eja.
“Enam tahun aku tunggu dia, El. Enam
tahun..” Nisa mula menangis.
Ella meleraikan pelukan. Pintu
ditutup dan dia memimpin Nisa ke sofa. Dua hari lepas dia mendapat tahu Ammar
telah pun bernikah dengan perempuan lain. Itu pun setelah melihat gambar Ammar
di Facebook. Puas dia menghubungi Nisa untuk mendapatkan kepastian tetapi tidak
pernah berjaya. Disebabkan itulah dia terus ke rumah Nisa.
“Aku tak sangka Ammar buat aku macam
ni El. Aku ingatkan dia akan berkahwin dengan aku tapi dia tipu aku El! Dia
kahwin dengan orang lain. Dia tak kahwin dengan aku. Aku..aku tak sanggup
kehilangan dia..El..”
Ella memeluk semula tubuh kurus itu.
Dia faham perasaan Nisa. Dia pernah ditinggalkan kekasih. Walaupun bercinta
hanya setahun tapi penangannya boleh tahan juga. Apatah lagi Nisa yang sudah
bermadu kasih selama enam tahun.
“Aku ingat lagi janji – janji dia.
Dia cakap dia nak kahwin dengan aku hujung tahun ni. Tak kisahlah kalau emaknya
izinkan atau tak, yang penting kami berkahwin. Dia juga cakap nak bawak aku ke
Langkawi. Bulan madu kat sana walaupun dalam hubungan kami ni dah tak ada
istilah bulan madu lagi. Dia ada juga cakap nak ada anak dengan aku cepat –
cepat. Tapi sekarang dia mungkiri semua janji – janji tu, El. Dia lupa janji
dia. Dia lupa akan aku. Dia lupa semuanya,” luah Nisa bersama air mata yang
menderu.
“Setiap kali bersama, dia akan
katakan dia tak akan sia – siakan aku. Dia akan bertanggungjawab atas apa yang
kami lakukan. Dia mahu aku seorang saja jadi isterinya. Dia..” Nisa sudah tidak
mampu untuk bersuara. Tangisannya lebih mengusai diri.
“Insya – ALLAH, ada hikmah yang
tersembunyi atas apa yang terjadi. Lagipun banyak lagi lelaki kat luar sana.
Bukan Ammar aje ada dalam dunia ni. Buka hati kau untuk orang lain, Nisa.”
“Tapi aku dah tak macam perempuan
lain Ella. Aku dah tak suci..” rintih Nisa.
Benar kata orang, terlajak perahu
boleh diundur tapi terlajak perbuatan buruk padahnya. Hendak diundur masa? Masa
makin laju berlari. Hendak disesali? Nasi sudah menjadi bubur. Bak kata
pepatah, berani buat berani tanggung! Tapi kalau tanggung seorang diri begini,
rasanya dia tidak kuat. Dia tidak mampu.
“Jodoh kita di tangan Allah, Nisa.
Kau belajar daripada kesilapan ini. Jangan
sesekali kau ulangi lagi.”
“Kau..kau takkan tinggalkan aku
macam mana Ammar tinggalkan aku, kan El?” soal Nisa sambil memandang mata Ella.
Temannya itu tersenyum lalu
menggeleng.
“Aku tetap akan bersama kau tak kira
siapa pun kau Nisa. Cuma aku nak kau janji, yang kau takkan buat macam ni lagi
andai kau bercinta dengan lelaki lain nanti.”
Nisa tidak membalas. Sebaliknya dia
hanya menundukkan wajah. Jurang antara dia dan Ella agak ketara. Ella pandai
menjaga diri ketika bercinta. Tiada istilah lelaki masuk ke dalam rumah sewanya
walaupun dia tinggal bersendirian.
“Dahlah, jangan nangis lagi. Ammar
tu duk seronok dengan bini dia tapi kau kat sini macam orang mati laki. Jom
kita keluar. Aku belanja kau,” pujuk Ella tanpa jemu.
Nisa hanya menurut.
INDAH
khabar dari rupa! Itulah yang bermain di fikiran Ammar pada saat ini. Empat
bulan menjadi suami Fatin, akhirnya dia terpaksa akui yang apa dijulang tinggi
tentang keperibadian Fatin adalah tidak semuanya benar. Kata Haji Kahar, Fatin
tak tinggal solat, rajin mengaji, dan lebih suka membaca buku – buku agama, itu
benar. Tidak dapat disanggkal lagi.
Tapi
bila Mak Phidah cakap Fatin rajin memasak, mengemas, lemah – lembut dan
sebagainya, itu umpama dongengan semata – mata. Sejak empat bulan tinggal di
rumah sendiri, belum pernah Fatin sediakan sarapan untuknya. Kalau makan malam
lauk yang dimasak hanya lauk yang sama iaitu sambal sotong, telur dadar dan
kailan ikan masin. Bila ditanya kenapa tidak masak lauk lain, Fatin akan
menjawab hanya itu yang dia pandai masak dan bersyukurlah dengan apa yang ada. Ketika
itulah wajah Nisa terbit di ufuk mata.
“Abang
masih berhubung dengan kekasih abang yang dulu tu?” soal Fatin ketika mereka
baru saja selesai makan malam.
Ammar
menggelengkan kepala. Dia tidak tegar bertemu mahupun berhubung dengan gadis
itu. Melalui pemerhatian secara rambang, dia dapat tahu Nisa kecewa. Teramat
kecewa. Tubuh Nisa yang kurus bertambah kurus. Wajah yang dulu murah dengan
senyuman, kini mula suram. Dia selalu mengintai Nisa dari jauh kerana dia tahu
setiap hari isnin, rabu dan jumaat, Nisa akan ke pejabat pos untuk menghantar
barangan pelanggan.
“Eloklah
kalau tak ada. Hurm, Fatin nak masuk bilik. Masih ada buku yang belum habis
dibaca,” Fatin terus berlalu namun lengannya dicapai oleh Ammar.
“Duduklah
dulu. Abang ada benda nak cakap ni.”
Fatin
duduk semula. Matanya menjamah wajah suaminya.
“Fatin
banyak sangat ke kerja kat rumah ni?” soal Ammar.
“Tak
adalah banyak sangat, tapi kenapa abang tanya?”
“Abang
tengok baju banyak yang tak basuh. Yang dah basuh pun tak habis lagi Fatin
lipat. Tu, tengok bawah meja tu dah berhabuk. Fatin tak menyapu ke?”
“Alah,
bukannya ada siapa pun nak datang rumah kita ni, bang.”
“Memanglah.
Tapi takkanlah sampai nak menyapu pun Fatin tak nak buat.”
Fatin
diam sejenak.
“Kalau
Fatin kerja, abang boleh terima lagi tapi Fatinkan duduk rumah? Apa salahnya
Fatin buat kerja rumah sikit. Alah, buat yang basic aje pun macam basuh baju,
lipat baju, kemas rumah, masak. Itu je pun. Lagipun kalau tiba – tiba parent
kita datang sini macam mana? Mesti dia orang terkejut tengok rumah kita macam
ni,” Ammar memujuk lagi.
“Boleh
Fatin tanya sikit?”
Ammar
mengangguk.
“Masa
abang bersekedudukan dengan kekasih abang dulu, dia jaga makan minum pakai
abang?”
Ammar
angguk lagi.
“Dia
rajin?”
“Rajin.”
“Baik?”
“Baik.”
“Solat?”
“Solat.”
Tiba
– tiba Fatin ketawa sinis.
“Solat
tapi buat maksiat, buat apa? Huh!”
Ammar
sedikit tersentak mendengar suara Fatin yang sedikit mélangit itu.
“Abang,
abang sepatutnya bersyukur sebab tak berkahwin dengan perempuan yang tak
bermaruah tu. Abang jugak patut bersyukur sebab Fatin masih mahu terima abang
walaupun Fatin tahu abang sebelum ni dah bergelombang dengan zina. Kalau Fatin
boleh terima kekurangan abang, kenapa abang tak boleh?” sambung Fatin lagi.
“Abang
nak kita sama – sama berubah.”
“Berubah?
Abang seorang saja yang perlu berubah supaya menjadi suami yang soleh. Fatin ni
dah kecil lagi dah jaga solat dan jaga aurat. Bukan macam kekasih abang tu!”
cantas Fatin lalu berlalu.
“Mungkin
ini balasan yang saya perlu terima, Nisa!” bisik Ammar perlahan. Terlalu
perlahan.
“AWAK NISA?”
Nisa
menganggukkan kepala sambil menarik tas tangan yang hampir melorot jatuh ke
bawah. Dia yang baru keluar daripada kereta hanya menunggu kata – kata
seterusnya daripada seorang gadis yang manis bertudung litup itu.
“Saya
nak ingatkan awak supaya jangan ganggu laki saya, Ammar. Dia milik saya dunia
dan akhirat! Lagipun perempuan macam awak ni tak layak untuk mana – mana lelaki,
tahu tak? Yang layak hanya api neraka di akhirat nanti!” maki perempuan itu
sebelum berlalu.
Nisa
yang masih terpinga – pinga diherdik itu hanya mampu melemparkan senyuman pahit
pada beberapa orang manusia yang lalu – lalang. Dia meninjau semula gadis tadi
sebelum hatinya mengatakan gadis itu adalah isteri Ammar. Andai diikutkan rasa
sakit di hati, mahu saja mulut celopar itu ditamparnya. Ya, memang dia manusia
berdosa! Penuh dengan maksiat. Tidak sempurna menutup aurat, tapi begitukah
caranya hendak menegur perbuatannya? Adakah perempuan itu tahu yang dirinya
sudah menuju ke jalan kebaikkan? Ke jalan pengampuan Tuhan?
DUA
TAHUN telah berlalu. Kehidupan Ammar masih begitu. Tahap kemalasan Fatin
semakin menjadi – jadi apabila dia disahkan mengandung dua bulan. Segala hadis
– hadis yang mengatakan tanggungjawab sebenar seorang wanita semua dikeluarkan.
Langsung tidak ada sifat tolak – ansur daripada isterinya itu. Emak dan kak
long Ammar mula merungut dengan telatah Fatin yang akan memerap di dalam bilik
bila balik ke rumah mereka. Mak Phidah pula seboleh – bolehnya memenangkan
anaknya itu sedangkan yang lain sudah sedia maklum tentang perkara yang
sebenar.
“Angah
cepatlah!” jeritan Anis yang lima langkah di hadapan mengejutkan Ammar.
Memandangkan
hari itu cuti umum sempena Maal Hijrah, dia telah diajak Anis untuk keluar
membeli – belah. Lagipun dia agak bosan hendak menghadap perangai Fatin yang
semakin hari semakin menyebalkan itu.
“Angah
tunggu kat luar ajelah,” kata Ammar setelah Anis berada di depan butik menjual
pakaian muslimah.
“Eh,
mana boleh! Karang siapa nak bayar?” Anis terus berpatah – balik dan menarik
lengan angahanya.
“Dia
ajak kita shopping tapi kita pulak yang kena bayar?” rungut Ammar sambil di
membelek – belek tanpa perasaan tudung bawal yang pelbagai warna itu.
Bila
dia berpaling, Anis sudah ke bahagian baju kurung. Ketika itulah dia disapa
oleh seseorang dari arah belakang.
“Assalammualaikum.
Boleh saya bantu?”
Denyutan
nadi terasa bagai terhenti saat mendengar suara lembut itu. Bila dia melihat
tuan empunya suara, nafasnya pula rasa tersekat. Udara yang ada rasa tidak
cukup untuk disedut.
“Nisa!”
Nisa
tersentak. Dia tidak menyangka lelaki yang ditegurnya itu adalah Ammar. Kenapa
lelaki ini nampak lain benar?
“Kak
Nisa?! Ya Allah.. Rindunya Anis pada akak! Mana akak menghilang?” Anis datang
menerpa sebelum memeluk erat Nisa yang begitu lain penampilannya.
“Akak
pergi ‘cari’ identity akak,” seloroh Nisa sambil memicit pipi Anis. Dia juga
rindu pada adik ipar tak jadinya itu.
“Dan
Anis rasa akak dah jumpa identity akak tukan?”
Nisa
hanya tersenyum mempamerkan giginya sebelum memandang Ammar yang seakan – akan
kehilangan kata.
“Jom
akak tunjukkan koleksi tudung baru kat Anis. Oh ya, akak akan bagi special price untuk Anis,” Nisa terus
menarik tangan Anis. Manakala Ammar hanya mampu melihat kemesraan di antara
kedua – dua gadis itu.
Sebelum
balik, Nisa mengajak Ammar dan Anis minum di sebuah restoran yang bersebelah
dengan butik miliknya itu. Siapa sangka di dalam dia menangisi perpisahan
dengan Ammar, dia mampu membuka sebuah butik pakaian muslimah yang kali ini
memang seiring dengan penampilan dan peribadinya.
“Saya
minta maaf atas apa yang terjadi.”
Setelah
sekian lamanya, akhirnya terungkap juga lafaz itu daripada mulut Ammar. Anis
yang baru menyudahkan makanannya segera memandang Nisa. Melihat wajah Nisa, dia
tahu hati abangnya diburu penyelasan. Nisa yang ada di depan mereka ini
bukanlah Nisa yang dulu. Nisa kini lebih anggun bertudung litup yang labuh
menutup dada. Jubah yang dipakai memang sesuai dengan ketinggian. Tanpa secalit
mekap, seri wajah Nisa jelas terpancar. Benarlah, pintu keampunan sentiasa
terbuka untuk hamba – hamba-NYA walaupun sebesar mana dosa yang pernah dicipta.
“Saya
dah maafkan awak, Ammar. Cuma saya terpaksa mengakui, untuk melupakan apa yang
awak dah buat pada saya, agak mustahil. Luka itu sudah lama sembuh tapi
parutnya masih ada. Tapi itu tak bermakna saya masih berdendam dengan awak,”
jawab Nisa, jujur.
“Saya
menyesal sebab tinggalkan awak. Saya tak bahagia hidup dengan Fatin, Nisa! Dia
tak macam awak. Dia tak..”
“Tak
elok awak bandingkan saya dengan isteri awak, Am. Saya ni cerita semalam awak,
tapi isteri awak cerita hari ini dan esok awak. Apa yang berlaku merupakan
pilihan awak sendiri. Jadi tak perlulah awak sesali apa yang terjadi.”
“Tapi
saya masih sayangkan awak, Nisa!” akui Ammar lalu cuba meraih jari – jemari
Nisa yang ada di atas meja.
Laju
saja Nisa menjatuhkan jarinya. Anis pula segera mencubit lengan abangnya.
“Love
story kita ni, awak yang pilih endingnya, Am. Nak tak nak awak kena terima
jugak. Lagipun tak semua love story yang happy endingkan?”
“Yelah,
angah ni! Dah dia jugak yang gatal pilih Kak Fatin tu buat apa? Sekarang ni
baru padan muka!” sampuk Anis lalu berlalu menuju ke tandas.
“Nisa,
kita kahwin!”
Nisa
yang tidak terkejut dengan ajakan itu hanya tertawa. Air limau sejuk yang ada
di atas meja disedut perlahan.
“Masa
awak bujang dah susah nak kahwin dengan saya, apatah lagi masa awak dah
beristeri ni?”
“Saya
serius, Nisa.”
“Dah
bukan jodoh kita untuk bersama, Am. Awak jaga je isteri awak baik – baik.
Jangan awak buat dia macam awak buat saya dulu. Sebab saya tak nak ada perempuan
lain rasa apa yang pernah saya rasa.”
“Tapi
saya tak bahagia dengan Fatin. Dia jauh berbeza dengan awak, Nisa. Dia abaikan
makan dan minum saya. Pakaian saya tak payah cakaplah. Dia tak pernah buat
sarapan untuk saya selama ni. Tak macam awak..”
“Walau
apa pun yang awak katakan, saya tetap dengan keputusan saya. Saya lebih sanggup
hidup sendiri daripada terus disakiti. Awak baliklah, Am. Jaga isteri awak baik
– baik. Mungkin masa ni dia tidak seperti yang awak nak, mana tahu satu hari nanti
dia berubah? Tak ada yang mustahil, Am,” ujar Nisa lembut.
“Dan
tak ada yang mustahil jugak untuk saya memiliki awak semula, Nisa!” kata Ammar
masih tidak berpuas – hati.
“Awak
pernah memiliki saya, Am. Tapi sayangnya awak tak hargai apa yang awak miliki.
Pernah saya mintak rumah berjuta, kereta dua tiga? Tak pernahkan? Cuma saya
mintak kita halalkan saja hubungan kita. Saya tahu mak dan kakak awak menentang
hubungan kita secara halus, tapi itu tak bermakna awak perlu tinggalkan saya
tanpa sebarang kata. Sekurang – kurangnya ucaplah kata perpisahan agar saya tak
rasa diri saya diperbodohkan!” sela Nisa bersama dengan emosi yang mula tidak
menentu.
Anis
yang baru duduk mula tidak senang melihat perubahan pada wajah Nisa. Wajah
bekas kekasih abangnya itu kelihatan pilu. Mata yang sedikit merah kelihatan
berair. Pasti perbualan mereka tadi menjurus kepada kenangan silam.
“Kalau
boleh saya tak nak mengungkit apa yang dah terjadi, tapi bila awak mulakan
dulu, saya tak boleh nak pendam apa yang ada di hati. Macam yang saya katakan
sebelum ni, saya sudah lama maafkan awak tapi saya tak dapat nak lupakan apa
yang telah awak buat pada saya. Jauh sekali untuk saya terima awak semula. Maafkan
saya, Am!” Nisa terus bangkit daripada kerusi tapi lengannya disambar oleh
Anis.
“Err..
Kak Anis tak nak bagi peluang pada angah?” soal Anis tiba – tiba. Entah kenapa
dia masih teringin Nisa menjadi kakak iparnya.
“Jangan
dikejar bayang – bayang, kerana bayang – bayang boleh hilang dalam malam.
Jangan dipuji pelangi di awan, kerana serinya akan hilang tanpa sebarang
pamitan. Dan jangan dikejar cinta yang telah dibuang, kerana ianya tak akan
pulang seperti yang kita mahukan..” balas Nisa sambil memeluk erat tubuh Anis.
“Walaupun
akak tak jadi kakak ipar Anis, tapi Anis harap akak anggap Anis macam adik
akak. Bolehkan?” pohon Anis.
Nisa
mencium dahi Anis lantas mengangguk. Ketika dia hampir menolak pintu kaca
restoran, sekali lagi namanya diseru. Dia berpaling. Ammar datang
menghampirinya.
“Soalan
terakhir yang saya nak tanya, awak sudah ada pengganti saya?”
“Cinta
saya pada awak tak boleh ditukar ganti kecuali atas izin Ilahi,” jawab Nisa lalu
berlalu tanpa menoleh lagi.
Ammar
yang masih berdiri tegak hanya mampu melihat gerak – geri Nisa daripada situ.
Nampaknya jawapan Nisa masih sama seperti dulu. Nisa belum ada pengganti dirinya.
Nisa masih setia berpegang pada janjinya. Saat itu dia berharap masa boleh
diundur semula. Dia berharap agar Nisa menjadi milik saja. Tapi, apakan daya,
itu semua angan – angan belaka.
“Maafkan
saya, Nisa!” rintihnya pedih sebelum Anis memaut lembut lengannya.
“Jomlah
kita balik, ngah. Next time Anis temankan angah jumpa Kak Nisa lagi. Tak dapat
bercinta, berkawan pun jadilah,” pujuk Anis lalu mengajak abangnya keluar
daripada restoran itu.
Dari
dalam butik, berselindung di sebalik patung yang tersusun itu, Nisa melihat
langkah longlai Ammar yang dipimpin oleh Anis. Air mata yang ditahan tadi gugur
jua.
Walaupun
saya telah temui cinta hakiki daripada Yang Maha Esa, tapi saya tetap manusia
biasa Am. Ada ketikanya saya berharap awak menjadi milik saya semula tapi ada
ketikanya saya memarahi diri saya kerana menyintai lelaki yang sudah menjadi
milik orang lain. Maafkan saya kerana masih sukar membuang sisa cinta yang ada.
Maafkan saya, Am.. luah Nisa di dalam hati bersama dengan air mata yang
mengalir tanpa henti.
TAMAT.
***************************
assalammualaikum!
kita bersua kembali. tapi bukan bersama Qisya ye. Tapi bersama Nisa. Ini cerpen untuk penutup tahun ni. insya - ALLAH awal tahun 2013, Luahan Hati Qisya akan menyusul. Itupun kalau umur masih dipanjangkan =)
btw, maaf sangat - sangat sebab kemain lama blog ni tak diupdated. dan terima kasih pada yang sudi singgah sini sejak blog ni sunyi - sepi. oh ye, novel Cinta Depan Mata belum ada berita lagi. mintak - mintak dapatlah CDM keluar tahun 2013 ye.. tolong doakan tau :')
apa - apa pun selamat membaca dan selamat berhujung minggu. lagi satu, mintak maaf kalau cerpen ni tak best ke, tak menetapi piawaian pembaca ke. maaf tau *sambil senyum nampak gigi*
soalan umum - adakah cerpen seperti ini cliche jugak? sila tinggalkan jawapan! tq. hehe..